

SMK Bukit Besar (Cadet) Division, Kuala Terengganu. -
“TEKAN kuat, 100 kali, sedalam dua inci.” Bagaikan masih terdengar-dengar suara lebih 300 peserta kelas bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) yang menyebut ayat ini berulang kali sebelum meletakkan tangan ke dada patung model latihan. Bermacam aksi peserta boleh dilihat ketika memberi bantuan kepada ‘pesakit’ yang terbaring di atas lantai di perkarangan Plaza Mont Kiara.
Ada yang meletakkan tangan terlalu tinggi, beralih ke kiri atau ke kanan di atas ‘buah dada’ patung (usah fikirkan yang bukan-bukan kerana semua patung leper dadanya) selepas kiraan ke-50. Tidak kurang juga yang menghela nafas lega apabila Pengarah Perubatan Pusat Pakar Global Doctors (Global Doctors), Dr Navindra Nageswaran menyebut angka 100.
Memberikan bantuan CPR memang boleh menyebabkan seseorang berasa penat, terutama jika dilakukan sendirian dalam keadaan cemas dan tertekan. Namun kaedah CPR baru yang diajar kakitangan perubatan Global Doctors itu sebenarnya adalah jauh lebih mudah berbanding kaedah CPR konvensional yang diperkenalkan 50 tahun lalu.
Ini kerana, berdasarkan garis panduan CPR yang dikemaskini tahun lalu, kita hanya perlu menekan dada pesakit dan tidak payah lagi memberi bantuan dari mulut ke mulut. Kajian setempat dan antarabangsa mendapati di kalangan yang tahu ini, 45 peratus doktor dan 80 peratus jururawat tidak bersedia melakukan CPR atas pelbagai sebab
Di negara kita, pengetahuan mengenai teknik melakukan CPR masih rendah, dianggarkan hanya 10 hingga 15 peratus yang tahu melakukannya dan kebanyakan mereka adalah kakitangan perubatan. Kajian Bantuan Kecemasan dan CPR Ke Atas Kakitangan Kesihatan Malaysia pada 2005 turut menunjukkan kesimpulan mengecewakan kerana di kalangan pekerja perubatan terlatih pun, hanya 50 peratus yang yakin dapat melakukan CPR.
Ketidakselesaan untuk memberikan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut juga dialami penduduk negara maju dan ia dianggap masalah besar kerana dalam menimbangkan antara mahu membantu atau tidak; sel otak pesakit yang tidak menerima bekalan oksigen dalam tempoh empat hingga enam minit akan tenat dan peluang untuk pesakit sembuh seperti sedia kala amat tipis.
Menurut Dr Navindra, kegagalan jantung berlaku apabila jantung mangsa berhenti mengepam darah yang boleh disebabkan serangan jantung, lemas, renjatan elektrik atau tercekik dan waktu paling kritikal untuk melakukan CPR ialah dalam masa beberapa minit pertama selepas jantung berhenti berdegup bagi membolehkan otak terus menerima bekalan oksigen.
“Pengetahuan mengenai CPR amat penting kerana keadaan kecemasan ini boleh berlaku pada sesiapa, bila-bila masa dan di mana saja. Inilah sebabnya kita perlu sentiasa bersedia dan setiap keluarga seharusnya tahu melakukan CPR, apatah lagi kini penyakit jantung menjadi pembunuh utama di negara kita,” katanya dalam program latihan sempena ulang tahun ke-50 teknik CPR anjuran bersama Global Doctors dan Sunrise Berhad.
Kajian sebelum ini turut mendapati kira-kira 70 peratus pesakit yang mengalami serangan jantung buat kali pertama, meninggal dunia sebelum sempat sampai ke hospital dan hampir 80 peratus kematian mengejut akibat serangan jantung berlaku di rumah dengan disaksikan ahli keluarga.
CPR yang diperkenalkan 50 tahun lalu terdiri daripada tiga perkataan penting iaitu: resusitasi (bermakna mengembalikan kehidupan), kardio (jantung) dan pulmonari pula merujuk kepada paru-paru.
Kaedah CPR lama membabitkan bantuan pernafasan mulut ke mulut (bagi membekalkan oksigen ke paru-paru) dan ‘mengepam’ jantung supaya boleh berdegup semula untuk mengepam darah ke otak. Bagaimanapun, dengan kaedah lama ini, hanya satu daripada tiga orang yang mendapat serangan jantung di Amerika Syarikat menerima bantuan CPR sebelum ambulans sampai.
Apa yang perlu dilakukan?
Menurut Dr Navidra, kaedah CPR baru ini amat mudah iaitu dengan menekan dada pesakit (di tengah-tengah dada antara payudara kiri dan kanan) sebanyak 100 kali dalam masa seminit. Ia bertujuan menghasilkan edaran tiruan dengan memberi tekanan pada jantung supaya ia boleh mengepam darah. Kaedah ini sangat penting untuk mengembalikan edaran darah yang masih mengandungi oksigen ke jantung dan otak.
Kaedah ini hanya membabitkan tiga langkah mudah iaitu D (bahaya), R (tindak balas) dan C (tekanan):